Saturday, October 25, 2008

Hari Informasi Pendidikan

Hari Informasi Pendidikan telah diadakan di Palm Garden Hotel, Putrajaya pada 25 Oktober 2008. Lebih daripada 20 wakil IPT telah mengambil bahagian dalam program ini. Peserta program ini terdiri daripada kaunselor dari daerah Hulu Langat, Sepang dan Petaling. Wakil SMAPK iaitu Cik Hasreena Abdul Rahman telah menghadiri program ini.

Program dimulakan dengan sesi daripada wakil MQA iaitu En Abdul Saman Taip. Beliau menerangkan tentang bagaimana satu kursus diberikan pengiktirafan MQA. Selepas itu, kaunselor SMAPK mula 'membeli belah' di gerai-gerai IPT sehinggakan tangan kaunselor sudah kemerah-merahan kerana membawa segala bebanan barangan yang diambil dari gerai-gerai. Selepas makan tengah hari, kaunselor menyertai 2 lagi sesi. Sesi pertama ialah mengenai EQ yang disampaikan oleh Datin Zam manakala sesi kedua disampaikan oleh Pn Suriahni Abdul Hamid berkenaan bagaimana untuk menghasilkan graduan yang bersedia untuk alam pekerjaan. Selepas itu, beberapa wakil IPT membentangkan kepada kaunselor tentang IPT mereka serta kursus-kursus yang ditawarkan.

Kaunselor mendapat banyak pengalaman dan maklumat terkini mengenai peluang melanjutkan pelajaran ke IPT dan ini membantu kaunselor untuk memberikan maklumat tersebut kepada para pelajar.

Wednesday, October 22, 2008

Ceramah Temuduga Biasiswa

Walaupun keletihan selepas Majlis Anugerah Kokurikulum, tetapi atas dasar untuk membantu para pelajar tingkatan 5, maka pihak UBK telah mengadakan satu ceramah berkaitan dengan temuduga biasiswa yang disampaikan oleh Cik Hasreena Abdul Rahman bermula pada pukul 9 malam pada 18 Oktober 2008. Dalam ceramah ini, beliau memberikan beberapa tips serta cara untuk memberikan jawapan yang terbaik kepada para pelajar. Oleh kerana para pelajar begitu berminat untuk bertanyakan soalan, maka ceramah ini berlangsung hampir 3 jam lamanya. Kaunselor juga agak keletihan kerana berdiri sepanjang masa tetapi amat berpuas hati dengan respon yang diberikan oleh para pelajar. Diharapkan agar semua pelajar dapat mempraktikkan apa yang telah disampaikan.

Majlis Anugerah Kokurikulum

Majlis Anugerah Kokurikulum SMAPK ke 18 telah diadakan pada 18 Oktober 2008 di dewan sekolah. Ia dirasmikan oleh Yang Berbahagia Tn Hj Nazri bin Chik, Ketua Bahagian Syariah, Bank Islam Malaysia Berhad. Beliau juga merupakan salah seorang bekas pelajar SMAPK. Alhamdulillah, para peserta EAK kami mendapat pengiktirafan kerana berjaya ke peringkat kebangsaan. Tahniah diucapkan daripada kami di UBK!

Friday, October 17, 2008

Program MEKAP Tingkatan 5

Program MEKAP Tingkatan 5 telah diadakan di ESSET Bangi selama 3 hari. Pada hari pertama, seramai 55 orang pelajar Tingkatan 5 yang terlibat manakala pada hari kedua dan ketiga, seramai 50 orang pelajar yang menghadiri program tersebut. Para pelajar didedahkan dengan cara-cara untuk menjawab kertas peperiksaan dengan lebih berkesan. Diharapkan agar para pelajar tingkatan 5 dapat mengharumkan nama sekolah apabila keputusan peperiksaan SPM diumumkan.

Sunday, October 12, 2008

Demam Peperiksaan!

Pihak UBK SMAP Kajang ingin mengucapkan selamat berjaya dalam peperiksaan untuk para pelajar tingkatan 3 dalam peperiksaan PMR serta para pelajar tingkatan 4 untuk peperiksaan akhir tahun yang akan bermula pada 13 Oktober ini. Good luck!

EAK Selangor 2008 - Proses Pembuatan Cermin Mata