Thursday, December 18, 2008

Seminar Kaunselor Sekolah Anjuran Petronas

Seminar yang dianjurkan oleh pihak Petronas diadakan di UTP pada 10-13 Disember 2009. Kaunselor Miss Hasreena telah menghadiri seminar ini ketika masih demam raya haji (dan demam badan sekali :( jadi terseksa sekejap). Pada hari pertama, para peserta didedahkan tentang Petronas dan UTP. Selepas itu, seminar dikendalikan oleh konsultan terkena iaitu Dr Sher Kawi (WOW! - trademark Dr Sher). Banyak penekanan diberikan mengenai teknik kaunseling dan pendekatan praktikal dalam kaunseling sekolah. Ada juga sebilangan peserta seminar yang merupakan PK HEM. Dengan ini juga, sekurang-kurangnya PK HEM dapat lebih memahami(dan lebih berempati) dengan tanggungjawab yang dipikul oleh kaunselor kerana kebanyakan daripada mereka memang melihat permasalahan pelajar dari segi perspektif disiplin dan pelajar bermasalah.

Para peserta seminar juga didedahkan dengan beberapa inventori serta pengenalan kepada art therapy. Memandangkan pengetahuan kaunselor mengenai art therapy begitu terbatas, maka dengan seminar ini, kaunselor mendapat maklumat yang sangat berguna yang boleh dipraktikkan di sekolah.

Secara keseluruhannya, seminar ini sememangnya sangat menarik terutama Dr Sher (dan perangai gila-gilanya) hingga tidak kering gusi dibuatnya. Sememangnya kaunselor sangat berpuas hati dengan seminar ini.

Program Rakan Hotline dan Naiktaraf Bilik UBK

Muhammad Syazwan dan Mizani Akmar telah menghadiri Program Rakan Hotline anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia bertempat di Hotel Gold Course Klang pada 26 hingga 29 November. Laporan mengenai program ini akan diperolehi selepas tamat cuti sekolah nanti. Kedua-dua peserta terpaksa menghadirkan diri 2 hari lebih awal ke sekolah bagi membantu kaunselor untuk mengemas bilik UBK memandangkan bilik UBK sekarang sedang dinaiktaraf. Insya-Allah bilik UBK akan bertambah cantik dengan jubin serta pembinaan bilik baru.

Tuesday, November 18, 2008

Seminar Pendidikan Pencegahan Dalam Penyalahgunaan Dadah

Memandangkan PPDHL begitu prihatin dengan kaunselor sekolah, maka satu lagi seminar diadakan bagi meningkatkan profesionalisme guru kaunseling iaitu Seminar Pendidikan Pencegahan Dalam Penyalahgunaan Dadah. Ia diadakan di USIM pada 13 November 2008 dan merupakan anjuran bersama SPADA dan PERKAMA.

Pembentang pertama ialah En Shamsul Anuar Mohd Salleh dari ADK yang membentangkan tentang Senario Penagihan di Malaysia. Pembentang kedua, En T. Sawandarapandy dari SPADA USIM, membentang kertas kerja bertajuk PrinsipPencegahan Dalam Penyalahgunaan Dadah. Pada sebelah petangnya pula, Ketua Program SPADA iaitu En Abd Halim Mohd Hussin mengendalikan bengkel kemahiran. Selepas itu, forum dijalankan dengan ahli panel yang berkaliber iaitu Tn Hj Wan Adnan (AADK), Tn Hj Mohd Sharif(PEMADAM) dan Tn Hj Manan (JPN Melaka).

Ini merupakan seminar pertama kaunselor terhadap isu dadah dan kaunselor sangat berterima kasih denga PPDHL kerana menjemput kaunselor ke seminar ini. Sesungguhnya seminar ini membuka mata kaunselor tentang pencegahan penagihan dadah yang boleh dilakukan di sekolah dan bukannya setelah para pelajar terjerumus dalam penagihan dadah ini.

Seminar Intervensi Krisis GBKSM Daerah Hulu Langat

Seminar ini diadakan di kampus baru German-Malaysian Institute (GMI) yang terletak berhampiran dengan Stesen Komuter UKM pada 10 November 2008. 3 sesi telah dijalankan dalam seminar ini. Sesi 1 bertajuk Akta Kanak-kanak yang disampaikan oleh Chief Inspector Brenda dari Balai Polis Bukit Aman. Sesi 2 pula disampaikan oleh Pn Rusni bertajuk Krisis Identiti Remaja: Peraturan, Akta dan Undang-undang Pencegahan & Menanganinya manakala sesi 3 pula berbentuk perkongsian pengalaman ahli-ahli panel iaitu En Yusof Sudin, En Rosli Suyot dan En Yusri Jaafar bersama-sama dengan En Mahadzir.

Secara keseluruhannya, pengisian yang diberikan sangat membantu kaunselor dalam lebih memahami krisis yang dihadapi oleh remaja. Pada masa yang sama, kaunselor juga berpeluang untuk melawat kampus baru GMI yang besar. Dengan adanya seminar ini juga, kaunselor juga dapat beramah mesra dengan kaunselor-kaunselor lain memandangkan semua kaunselor perlu hadir ke seminar ini.

Wednesday, November 5, 2008

Bengkel Profesionalisme Guru Kaunseling SBP Zon Tengah ke Raffles Girls' School, Singapore



Seramai 16 orang guru kaunseling SBP Zon Tengah telah mengadakan lawatan kerja ke Raffles Girls' School (RGS), Singapore pada 3 November 2008 dari pukul 10 pagi hingga 12.30 tengah hari. Program ini diadakan bertujuan untuk bertukar-tukar idea berkaitan dengan perkhidmatan kaunseling terutamanya daripada aspek kepimpinan yang dijalankan di sekolah masing-masing. Rombongan SBP dibawa ke Cyber Learning Centre untuk mendengar taklimat mengenai program yang dijalankan di sekolah berkenaan. Banyak maklumat yang diperolehi daripada RGS berkaitan dengan pembangunan para pelajar. Kaunselor SBP Zon Tengah begitu teruja dengan program yang dijalankan di RGS dan berharap agar dapat mengaplikasikannya di sekolah masing-masing. Setelah itu, kami dibawa ke bilik kaunselingnya yang begitu besar dan kondusif. Maklumat yang diperolehi daripada RGS banyak membantu para kaunselor dalam meningkatkan profesionalisme guru kaunseling SBP Zon Tengah.

Selepas itu, rombongan kaunselor mula mengelilingi Singapura. Tempat-tempat yang dilawati ialah seperti Merlion Park, Mount Faber, Arab Street, Bugis Street, Geylang, Pulau Sentosa serta kami berkesempatan ke tapak lama Studio Jalan Ampas.

Perkongsian Pintar Bersama STF



Tarikh 1 November 2008 iaitu pada hari Sabtu telah dipilih oleh SMAPK untuk mengadakan satu program iaitu Program Perkongsian Pintar bersama Sekolah Tun Fatimah (STF), Johor Bahru. Seramai 6 orang guru dan 11 orang pemimpin pelajar SMAPK menyertai program ini. Program ini bertujuan untuk berkongsi idea dan pengalaman di antara kedua-dua buah sekolah dalam aspek kepemimpinan. 4 badan sekolah yang mengambil bahagian ialah Pemimpin Pelajar (pengawas sekolah), PRS, Pengawas Pusat Sumber (PPS) dan Badan Dakwah Kepimpinan (BDK).

SMAPK tiba di STF pada pukul 9 pagi disambut oleh PK HEM iaitu Pn Hjh Saidah bersama guru-guru serta para pelajar STF. Rombongan SMAPK kemudian dibawa ke bilik mesyuarat dan perkongsian pintar dijalankan di tempat yang sama. Banyak maklumat dan idea dapat dikongsi bersama-sama dengan para pemimpin STF. Selepas itu, rombongan SMAPK dibawa melawat kawasan sekolah. Rombongan kemudian dijamu makan tengah hari di kantin sekolah.

Diharapkan perkongsian pintar di antara kedua-dua buah sekolah ini dapat membantu meningkatkan kualiti kepemimpinan sekolah masing-masing.

Saturday, October 25, 2008

Hari Informasi Pendidikan

Hari Informasi Pendidikan telah diadakan di Palm Garden Hotel, Putrajaya pada 25 Oktober 2008. Lebih daripada 20 wakil IPT telah mengambil bahagian dalam program ini. Peserta program ini terdiri daripada kaunselor dari daerah Hulu Langat, Sepang dan Petaling. Wakil SMAPK iaitu Cik Hasreena Abdul Rahman telah menghadiri program ini.

Program dimulakan dengan sesi daripada wakil MQA iaitu En Abdul Saman Taip. Beliau menerangkan tentang bagaimana satu kursus diberikan pengiktirafan MQA. Selepas itu, kaunselor SMAPK mula 'membeli belah' di gerai-gerai IPT sehinggakan tangan kaunselor sudah kemerah-merahan kerana membawa segala bebanan barangan yang diambil dari gerai-gerai. Selepas makan tengah hari, kaunselor menyertai 2 lagi sesi. Sesi pertama ialah mengenai EQ yang disampaikan oleh Datin Zam manakala sesi kedua disampaikan oleh Pn Suriahni Abdul Hamid berkenaan bagaimana untuk menghasilkan graduan yang bersedia untuk alam pekerjaan. Selepas itu, beberapa wakil IPT membentangkan kepada kaunselor tentang IPT mereka serta kursus-kursus yang ditawarkan.

Kaunselor mendapat banyak pengalaman dan maklumat terkini mengenai peluang melanjutkan pelajaran ke IPT dan ini membantu kaunselor untuk memberikan maklumat tersebut kepada para pelajar.

Wednesday, October 22, 2008

Ceramah Temuduga Biasiswa

Walaupun keletihan selepas Majlis Anugerah Kokurikulum, tetapi atas dasar untuk membantu para pelajar tingkatan 5, maka pihak UBK telah mengadakan satu ceramah berkaitan dengan temuduga biasiswa yang disampaikan oleh Cik Hasreena Abdul Rahman bermula pada pukul 9 malam pada 18 Oktober 2008. Dalam ceramah ini, beliau memberikan beberapa tips serta cara untuk memberikan jawapan yang terbaik kepada para pelajar. Oleh kerana para pelajar begitu berminat untuk bertanyakan soalan, maka ceramah ini berlangsung hampir 3 jam lamanya. Kaunselor juga agak keletihan kerana berdiri sepanjang masa tetapi amat berpuas hati dengan respon yang diberikan oleh para pelajar. Diharapkan agar semua pelajar dapat mempraktikkan apa yang telah disampaikan.

Majlis Anugerah Kokurikulum

Majlis Anugerah Kokurikulum SMAPK ke 18 telah diadakan pada 18 Oktober 2008 di dewan sekolah. Ia dirasmikan oleh Yang Berbahagia Tn Hj Nazri bin Chik, Ketua Bahagian Syariah, Bank Islam Malaysia Berhad. Beliau juga merupakan salah seorang bekas pelajar SMAPK. Alhamdulillah, para peserta EAK kami mendapat pengiktirafan kerana berjaya ke peringkat kebangsaan. Tahniah diucapkan daripada kami di UBK!

Friday, October 17, 2008

Program MEKAP Tingkatan 5

Program MEKAP Tingkatan 5 telah diadakan di ESSET Bangi selama 3 hari. Pada hari pertama, seramai 55 orang pelajar Tingkatan 5 yang terlibat manakala pada hari kedua dan ketiga, seramai 50 orang pelajar yang menghadiri program tersebut. Para pelajar didedahkan dengan cara-cara untuk menjawab kertas peperiksaan dengan lebih berkesan. Diharapkan agar para pelajar tingkatan 5 dapat mengharumkan nama sekolah apabila keputusan peperiksaan SPM diumumkan.

Sunday, October 12, 2008

Demam Peperiksaan!

Pihak UBK SMAP Kajang ingin mengucapkan selamat berjaya dalam peperiksaan untuk para pelajar tingkatan 3 dalam peperiksaan PMR serta para pelajar tingkatan 4 untuk peperiksaan akhir tahun yang akan bermula pada 13 Oktober ini. Good luck!

Saturday, September 27, 2008

Selamat Bercuti dan Selamat Hari Raya

Kepada semua warga SMAPK serta kepada semua umat Islam di Malaysia yang datang singgah ke blog ini, kami di UBK SMAP Kajang ingin mengucapkan selamat bercuti kepada para pelajar dan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua, semoga selamat pulang ke destinasi masing-masing, dan juga semoga selamat kembali nanti.

Wednesday, September 24, 2008

Kertas Penyelidikan Terhadap Pelajar Thailand SMAPK

Baru-baru ini kaunselor-kaunselor SMAPK telah bertungkus lumus untuk menyediakan kertas penyelidikan terhadap para pelajar Thailand di SMAPK. Masa yang diberi adalah terlalu suntuk iaitu selama 3 hari sahaja. Walau bagaimana pun, kaunselor-kaunselor SMAPK berjaya juga menjalankan penyelidikan bersama-sama dengan beberapa orang guru yang lain. Ia telah dihantar ke KPM pada 10 September lalu. Kertas penyelidikan ini adalah untuk satu persidangan berkaitan isu pendidikan Malaysia-Thailand. 2 kajian telah dijalankan iaitu berkaitan dengan tahap penguasaan Bahasa Malaysia para pelajar Thailand serta tahap penghargaan kendiri mereka. Kalau ada rezeki untuk dipilih, maka kertas penyelidikan ini akan dibentang insya-Allah pada akhir bulan November.

Monday, September 22, 2008

Mesyuarat PRS Tingkatan 4

Mesyuarat PRS tingkatan 4 teah diadakan di bilik UBK. Antara yang dibincangkan ialah berkenaan dengan kempen anti buli. Satu instrumen penilaian telah ditadbirkan kepada para pelajar tingkatan 1 dan 2 bagi mengenal pasti kewujudan buli di kalangan rakan sebaya. Selain daripada itu, maklumat mengenai buli juga telah diedarkan kepada semua pelajar tingkatan 1 dan 2 yang berisiko tinggi untuk dibuli serta ditampal di asrama, masjid dan juga dewan makan. Selepas ini, terdapat perancangan untuk mentadbir instrumen penilaian bagi mengenal pasti kewujudan buli di asrama.

Satu lagi perkara yang dibincangkan ialah mengenai tanggungjawab PRS dalam menjalankan tugas di sekolah dan juga di asrama. Contohnya dalam membantu adik-adik seperti para pelajar Thailand agar dapat lebih menyesuaikan diri di sekolah. Kaunselor -kaunselor mengingatkan PRS untuk menjalankan amanah yang telah diberi dengan baik dan ikhlas. Kaunselor juga ada mencadangkan untuk menambahkan bilangan PRS atau mewujudkan jawatan pembantu PRS yang terdiri daripada ketua kelas, penolong ketua kelas, naqib dan naqibah di asrama.

Akhir sekali, PRS juga membincangkan tentang jamuan akhir tahun bagi meraikan semua PRS terutamanya PRS tingkatan 5.

Minggu Kerjaya dan Minggu ICT

Pada 15 hingga 19 September, Minggu Kerjaya telah diadakan serentak dengan Minggu ICT. Walaupun terdapat sedikit kekeliruan pada hari perasmiannya, namun aktivitinya berjalan dengan lancar. Maklumat lanjut akan diperolehi kelak.

Wednesday, September 17, 2008

Program Kemahiran Belajar Tingkatan 1 dan 2





Pada 16 September 2008, UBK dan PIBG SMAPK telah mengadakan Program Kemahiran Belajar Tingkatan 1 dan 2 di Masjid SMAPK pada pukul 11 pagi hingga 1.00 tengah hari. Penceramah jemputan ialah En Md Suhaimi Hj Sapiee. Program ini mendapat sambutan yang baik daripada para pelajar. Banyak informasi yang diperolehi terutamanya tentang beberapa tips untuk menjadi pelajar cemerlang. Selepas tamat program, semua pelajar dan penceramah serta PK Akademik, Tn Hj Mohd Rezazali Ahmad Ansar sama-sama menunaikan solat Zohor berjemaah dengan Tn Hj Rezazali menjadi imam. Diharapkan agar dengan program ini, para pelajar dapat menyiapkan diri mereka lebih awal untuk peperiksaan PMR akan datang.

Sunday, September 14, 2008

Pemilihan PRS Tingkatan 1 dan 2

Nampaknya pemilihan berjalan dengan lancar. Memandangkan terlalu ramai yang memohon untuk menjadi PRS, maka pemilihan dilakukan selama beberapa hari. AJK PRS Tingkatan 4 begitu aktif sekali menemuramah adik-adik untuk memilih PRS. Dengar cerita, teruk juga abang-abang dan kakak-kakak menemuduga adik-adik ini. Bukan apa, sengaja hendak menduga keikhlasan mereka untuk menjadi PRS. Sudah ada beberapa calon yang difikirkan layak untuk menjadi PRS. Kita tunggu dan lihat sahaja siapa yang terpilih nanti.

Thursday, September 11, 2008

Minggu Terbuka PRS 2008

Pada 16 Jun 2008 Biro Pembimbing Rakan Sebaya, Unit Bimbingan dan Kaunseling telah melancarkan Minggu Terbuka PRS (Open Week). Pelancaran minggu ini berlangsung dengan ucapan perasmian daripada Tuan Hj. Mohd Rezazali bin Ahmad Ansar dan penyempurnaan simbolik perasmian daripada beliau. Walaupun begitu, kami telah memulakan program kami ini sehari lebih awal iaitu pada hari Ahad melalui aktiviti senamrobik.

Pada minggu ini, pelbagai aktiviti telah dijalankan bagi menjayakan tema kami iaitu PRS aktif, pelajar poduktif . Rasionalnya, Hari Terbuka PRS merupakan satu program yang dirangka khusus untuk memberi pendedahan tentang fungsi dan peranan PRS, sejarah penubuhan PRS dan maklumat mengenai bidang kaunseling.

Program ini juga telah diselaraskan oleh Unit Bimbingan & Kaunseling dengan melibatkan seluruh warga SMAP Kajang khususnya pelajar Tingkatan 1 dan 2. Hal ini kerana kami ingin mencari pelapis-pelapis baru yang mampu gah berdiri walau sehebat mana digoncang serta boleh menjalankan tanggungjawab dengan penuh bersemangat . Rentetan itu, program-program yang dijalankan adalah merangkumi aspek komunikasi dan ilmu kaunseling seperti ucapan daripada wakil PRS ketika perhimpunan pagi serta ucapan di kelas-kelas. Pada hari Sabtu, 21 Jun 2008, kami telah menjalankan pertandingan treasure hunt.

Tuesday, September 9, 2008

Minggu Budi Bahasa

Pada 8 hingga 12 September, PRS mengadakan Minggu Budi Bahasa peringkat sekolah. Dijangka pada 10 September nanti, majlis perasmian akan dijalankan. Makin sibuklah PRS SMAPK di dalam bilik UBK. Insya-Allah pada minggu hadapan pula akan diadakan Minggu Kerjaya. Kita tunggu sahaja laporannya daripada PRS. Buat masa sekarang, kaunselornya sahaja yang boleh menaip laporan di blog ini memandangkan perkhidmatan internet di sekolah tergendala sebentar.

Friday, September 5, 2008

Pemilihan PRS Baru

Pemilihan PRS baru telah dijalankan memandangkan terdapat beberapa orang PRS telah dilantik menjadi Pemimpin Pelajar (PP). Jadi bagi mengisi kekosongan, maka kami mula mencari calon-calon yang sesuai. Sambutan yang diterima adalah di luar dugaan kerana terlalu ramai yang ingin menjadi PRS. Oleh yang demikian, kami memohon semua calon untuk mencari bahan bagi Altruistic Gen 2 edisi Minggu Kerjaya pada hujung minggu ini memandangkan mereka dibenarkan untuk balik bermalam. Calon-calon kebanyakannya terdiri daripada para pelajar tingkatan 2. Terima kasih kepada Teacher Hasreena kerana telah menambah kuota bilangan PRS tingkatan 2 menjadi 7 orang bagi putera dan 7 orang bagi puteri serta memberi bimbingan dalam pemilihan PRS.

Thursday, September 4, 2008

Altruistic Gen 2

Sejak kebelakangan ini PRS begitu sibuk sekali di bilik UBK. Apa yang disibukkan? Bukan apa, mereka tengah bertungkus lumus untuk menyiapkan Altruistic Gen 2 iaitu buletin PRS. Memandangkan isi kandungan mereka terlalu banyak (dan semuanya begitu menarik!), maka PRS mengambil keputusan untuk mengeluarkan 2 edisi iaitu satu Edisi Kemerdekaan dan satu lagi akan diterbitkan sempena Minggu Kerjaya. Oleh sebab itu, mereka begitu setia di bilik UBK apabila ada masa terluang sehinggakan kaunselornya pula yang tiada ruang di bilik UBK. PRS akan menjual buletin tersebut dengan harga RM1.00 yang mengandungi 32 muka surat penuh dengan informasi. Laporan selanjutnya akan dimaklumkan kelak.

Wednesday, September 3, 2008

Pertandingan Karnival Pendidikan Kaunseling dan Kerjaya Peringkat Kebangsaan 2008


Pada 15 - 18 Ogos telah diadakan Pertandingan Karnival Pendidikan Kaunseling Peringkat Kebangsaan 2008 di SMKA Pedas, Rembau, Negeri Sembilan. Kontinjen Selangor yang diketuai oleh Encik Adnan dari PPD Klang bertolak pada pukul 10.00 pagi dari PPD Hulu Langat. Malang bagi pasukan EAK kami yang terpaksa dibahagi kepada dua kerana masih lagi sibuk membuat penambahbaikan kepada buku dokumentasi kami. Maka 2 orang peserta bertolak bersama-sama dengan bas kontinjen manakala 2 lagi peserta bersama guru pengiringnya bertolak ke Pedas pada lewat petangnya. Pada malam pertama, para peserta dan guru pengiring diberikan taklimat. Buku dokumentasi EAK diserahkan pada malam itu juga. Giliran persembahan diundi selepas taklimat dan kami mendapat giliran ke 7. Pada keesokan malamnya, maka bermulalah perjuangan kami. Kami merupakan kumpulan terakhir yang membuat persembahan multimedia pada malam itu. Agak malang bagi kami kerana kami menghadapi sedikit masalah teknikal. Ini merupakan pengajaran kepada kami dan kami akan berusaha untuk memperbaiki segala kelemahan kami. Kami banyak menimba pengalaman di sana terutamanya bagi pertandingan yang lain. Malah guru pengiring juga sudah mula merangka kerjaya yang ingin diterokai bagi pertandingan EAK untuk tahun hadapan. Jadi untuk semua sekolah di Selangor, we'll be back next year... so beware! :)

Team Building Kontinjen Selangor untuk Karnival Pendidikan Kaunseling dan Kerjaya Peringkat Kebangsaan 2008

Pada 14 Ogos 2008 bertempat di PPD Hulu Langat, Kajang telah diadakan program Team Building bagi kontinjen Selangor. Semua peserta Pertandingan Karnival Pendidikan Kaunseling dan Kerjaya Peringkat Kebangsaan 2008 berkampung di PPD Hulu Langat sejak pukul 9.00 pagi lagi. Para peserta yang datang dari seluruh Selangor berkumpul di sini bagi membuat persiapan untuk pertandingan masing-masing. Para peserta diminta untuk membentangkan hasil terakhir mereka di hadapan hakim yang telah dilantik oleh Jabatan Pelajaran Selangor. Bagi pasukan EAK kami, kami berpeluang untuk membentangkan persembahan multimedia kami kepada Encik Mutalib yang merupakan salah seorang hakim di peringkat Negeri Selangor. Kami mendapat banyak input daripada beliau mengenai penghakiman buku dokumentasi serta persembahan multimedia untuk EAK. Pada malamnya, para peserta menjalani program ice breaking dan mereka telah mencipta satu cheer untuk negeri Selangor. Para peserta EAK meneruskan kerja penambahbaikan sehingga keesokan harinya sehingga terpaksa bertolak ke SMKA Pedas bersama-sama En Aziz (terima kasih daun keladi, kalau boleh memang nak bagi keladi!) pada lewat petangnya.

Tuesday, August 26, 2008

Laporan Kursus PRS SBP Peringkat Kebangsaan 2008


Mizani dan Safiz merupakan 2 orang bakal pemimpin PRS telah dihantar untuk menyertai Kursus SBP Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Sintok, Kedah. Mereka berkampung di sana dari 27 hingga 30 Julai. Banyak aktiviti yang dijalankan seperti jungle trekking, ice breaking dan sebagainya. Salah satu aktiviti utama yang dijalankan ialah Program Outreach. Dalam program ini, PRS dikehendaki merancang prgram motivasi kepada para pelajar sekolah rendah di sekitar Perlis. Program terbahagi kepada 2 bahagian. Bahagian pertama ialah mereka perlu memberi ceramah motivasi tentang kelebihan belajar di SBP selama sejam. Kemudian, mereka diminta untuk melakukan aktiviti LDK bersama-sama pelajar Tahun 6. Pada malam terakhir, mereka perlu membuat persembahan mengikut kumpulan masing-masing. Diharapkan mereka dapat mempraktikkan apa yang telah dipelajari untuk rancangan tahun hadapan.

Tuesday, August 5, 2008

Kursus Kepemimpinan PRS SBP Peringkat Kebangsaan 2008


Pada 27 hingga 30 Julai 2008, Mizani dan Safiz telah terpilih untuk menyertai Seminat Kepemimpinan PRS SBP Peringkat Kebangsaan 2008 di UUM, Sintok, Kedah. Buat masa sekarang, mereka sangat sibuk untuk menduduki ujian yang telah berlangsung ketika mereka menyertai seminar ini. Diharapkan agar selepas menduduki ujian tersebut, mereka akan memberikan laporan tentang penglibatan mereka dalam seminar tersebut. Semoga berjaya dengan ujian!

Friday, July 25, 2008

Kursus Kepemimpinan PRS SBP Peringkat Kebangsaan

2 orang pelajar tingkatan 4 (seorang putera dan seorang puteri) akang menghadiri Kursus Kepemimpinan PRS SBP Peringkat Kebangsaan pada 28 - 31 Julai 2008 di UUM, Sintok, Kedah. Kaunselor SMAPK mengharapkan agar mereka akan membuat yang terbaik di sana. Laporan akan dihantar ke blog selepas kursus ini.

Kursus Pembinaan Laman Blog

Kaunselor SMAPK telah menghadiri Kursus Pembinaan Laman Blog bagi guru GKSM PPDHL. Walaupun terpaksa menghadirinya sebanyak dua kali (itu pun En Aziz telefon pada saat-saat akhir), namun Kaunselor SMAPK redha kerana mengetahui betapa pentingnya penggunaan ICT dan mewujudkan laman blog sekolah. Kaunselor SMAPK menerima CD serta modul pembinaan blog. Kursus in diadakan di Footprint Internet Cafe di Beranang

Wednesday, July 23, 2008

Persiapan untuk pertandingan EAK peringkat kebangsaan


Buat masa sekarang, peserta EAK mula menghadiri kelas masing-masing sebab sudah lama meninggalkan kelas. Minggu hadapan merupakan minggu ujian bulanan mereka, jadi buat masa sekarang mereka melakukan kerja-kerja penambahbaikan buku dokumentasi EAK pada waktu prep petang. Selepas selesai ujian bulanan nanti, mereka akan mula memberi tumpuan untuk menyediakan persembahan multimedia yang baru serta mengedit buku dokumentasi EAK. Kami juga sudah mula mencari penaja untuk beberapa keperluan kami. Alhamdulillah pusat optometri kami iaitu NR Optometrist sudi menaja goodie bag untuk para hakim. Kami masih lagi menunggu jawapan daripada PPDHL untuk menaja dakwat colour printer (ehem ehem Encik Aziz).

Friday, July 18, 2008

Welcome

Welcome to all bloggers. Please feel free to browse through all UBK SMAPK's activities. Enjoy!

EAK Selangor 2008 - Proses Pembuatan Cermin Mata